gravatar

Mini Album Nahwan Nur

Mini Album Nahwan Nur yang dalam perancangan sebagai satu usaha mendokumentasikan karya.

Semoga dengan adanya usaha ini, kumpulan Nahwan Nur akan terus berjuang dengan genre nasyid yang dibawa seterusnya berdakwah demi mendapat redha Ilahi..InsyaAllah..

gravatar

Lirik Bicara Bonda

Bicara Bonda

Bicara bonda tentang dunia
Diam si anak mendengarnya
Gelap zulmat alam maya
Dilitup dosa dan noda

NAsihat bonda tentang pekerti
Andai akal tiada budi
Bagai layang putus tali
Akan sirna seri ukhuwah insani
Kerna dendam hasad dengki

CO:
Kita pewaris agama mulia
Lerai sengketa satukan kata
Kitalah pewaris Negara bangsa
Prasasti harapan nusa

Kini dunia sempada tiada
Tetap beza kasta dan budaya
Kini tiba masa untuk kita semua
Terbang semula ke sana

Bridge:
Kitalah pewaris agama mulia
Menjadi harapan Negara bangsa
Menuju ke satu matlamat yang sama
Bersatu berpadu memperkasa ukhwah

Sabda PENCIPTA YANG AGUNG
Mutiara kalimah UTUSAN TERULUNG
Harum umpama wangian dari syurga
Sakti sebuah muhibah

Ulang CO

Di bawahnya biru langit TUHAN
Dalam jagat raya tanpa garis sempadan
Disanjung martabat insan perpaduan tersulam
Unkhwah citra keunggulan ISLAM

gravatar

Nahwan Nur Board 2008/2009

CARTA ORGANISASI KELAB NASYID NAHWAN NUR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
SESI 2008/2009

gravatar

Nahwan Nur Gondol Anugerah Panji Ulung

SERDANG, 10 April – Khairu Rasid Mohamad dan Noor Faezah Hamidon membolot Anugerah Seni (MASENI) Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-4 baru-baru ini.

Khairu Rasid Mohamad menerima Anugerah Adiwijaya Wangsa (tokoh seni budaya siswa) merupakan pelajar tahun akhir Bacelor Sains dengan Pendidikan (Kepujian) Matematik, Fakulti Sains UPM.

Noor Faezah Hamidon, presiden Kelab Senitari ADIMASTULI dan pelajar tahun dua Bacelor Sains Pembangunan Manusia Fakulti Ekologi Manusia UPM pula menerima Anugerah Sriwijaya Wangsa (tokoh seni budaya siswi).

Khairu Rasid berkata beliau telah menyertai pertandingan Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) ketika pertama kali menyertai kelab tersebut sejak tahun pertama di UPM.

Noor Faezah yang telah mewakili UPM dalam pertandingan seni tari sejak 2006 berkata anugerah tersebut membuatkannya berazam untuk bergiat aktif dalam tarian pada masa depan.

Majlis yang berlangsung di Dewan Banquet UPM menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Azali Mohamed menerima Anugerah Seri Mahawangsa (Tokoh Budaya Kampus).

Seramai 10 pelajar UPM menerima anugerah Emas MASENI (penggiat seni harapan) iaitu Debbie Michelle Amboi, Favian Micco Ujin, Lee Huey Kuan, Mohd Afiq Masri, Mohd Ghadafi Mohd Jaya, Mohd Ishak Abdul Ghani, Mohd Izzudin Samsudin, Muhammad Faizal Saidi, Nurul Adha Abdul Latif, Suhaizam Shahrul Affendy Suhaimi dan Wan Mohd Farhan Wan Zakaria.

Anugerah Sanggar Harmoni (pengelolaan program kebudayaan interkolej terbaik) pula dimenangi oleh Kolej Tun Dr Ismail yang telah menganjurkan Pertandingan Sayembara Puisi Interkolej 2008 sementara Anugerah Sanggar Genta (johan keseluruhan festival kesenian sesi 07/08) dimenangi oleh Kolej Keenam.

Bagi kategori persatuan kebudayaan, Anugerah Panji Bakti (komitmen dan penglibatan persatuan kebudayaan terbaik) dimenangi oleh Kelab Senitari ADIMASTULI sementara Anugerah Panji Harapan (persatuan kebudayaan harapan) dimenangi oleh Persatuan Seni Budaya Zhong Hua.

Selain itu Anugerah Panji Pesona (pengelolaan program kebudayaan interkolej terbaik oleh persatuan kebudayaan) dimenangi oleh Kelab Penggiat Teater Sejagat Pentas dan Anugerah Panji Ulung (persatuan kebudayaan terbaik keseluruhan) dimenangi oleh Kelab Nasyid Nahwan Nur UPM.

Dr. Azali berkata MASENI merupakan penghargaan kepada pelajar dan persatuan kebudayaan UPM yang terlibat menganjurkan aktiviti kebudayaan dan kesenian sepanjang sesi 2008/2009.

Dalam anugerah itu Khairu Rasid menerima piala, sijil penghargaan, sepasang baju melayu dan songket manakala Noor Faezah pula menerima piala, sijil penghargaan dan sepasang baju kurung.

Disediakan oleh Seksyen Media dan Publisiti, Bahagian Komunikasi Korporat, UPM.

gravatar

UPM Juara Anugerah Gong Kencana Emas


Pasukan nasyid dan zapin UPM bergambar dengan Prof. Dr. Azali Mohamed selepas majlis anugerah tersebut.

JOHOR BAHRU, 3 Jan – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjuarai anugerah utama Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) iaitu Anugerah Gong Kencana Emas MAKUM yang diberi kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang paling cemerlang dalam pertandingan anjuran MAKUM sepanjang tahun 2007 dan 2008.

Anugerah itu diberi berdasarkan pencapaian UPM menjadi juara Festival Zapin dan Festival Nasyid 2008, juara Festival Zapin, Deklamasi Puisi Merdeka dan Festival Pantun 2007, kesemuanya anjuran MAKUM.

UPM turut merangkul Anugerah Saron Wangsa MAKUM 2008 yang diberi kepada IPTA terbaik menunjukkan komitmen tinggi dalam pertandingan anjuran MAKUM.

Ketua Unit Seni Budaya dan Kreatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Mohd Isnain Ali berkata kemenangan tersebut diraih hasil bimbingan BHEP dalam semua aktiviti seni budaya di UPM.

“Kemenangan ini memberi semangat kepada penggiat seni dan budaya di UPM agar terus meningkatkan mutu persembahan dan mencapai lebih banyak kejuaraan,” katanya.

Dalam majlis itu UPM menerima trofi yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Dato’ Ir Dr. Radin Umar Radin Sohadi.

Anugerah Seni MAKUM 2008 secara dwi tahunan itu memberi pengiktirafan terhadap usaha-usaha atau hasil seni yang telah dihasilkan oleh IPTA sepanjang tahun 2007 dan 2008.

Selain anugerah utama Gong Kencana Emas dan Saron Wangsa, empat jenis anugerah lain ialah Bonang Emas, Gambang Mustika, Gendang Sari dan Kenong Budi.

MAKUM dianggotai oleh semua wakil daripada 20 buah IPTA yang bekerjasama membantu kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia serta agensi-agensi yang berkaitan dengan kesenian dan kebudayaan.

Disediakan oleh Seksyen Media dan Publisiti, Bahagian Komunikasi Korporat, UPM.

gravatar

UPM Juara Nasyid MAKUM


Kumpulan Nasyid Nahwan Nur UPM bergambar selepas memenangi Festival Nasyid MAKUM 2008.

JOHOR BAHRU, 9 Dis – Kelab Nasyid Nahwan Nur Universiti Putra Malaysia (UPM) menjuarai Festival Nasyid Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) 2008 pada 3 Disember yang lalu.

UPM telah merangkul tiga anugerah sampingan yang telah dipertandingkan iaitu Anugerah Solo Terbaik dimenangi oleh Wan Mohd Farhan Wan Zakaria, Anugerah Iringan Terbaik dan Anugerah Lagu Terbaik berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM2600.

Lagu ‘Bicara Bonda’ hasil ciptaan Wan Muhammad Salehuddin Wan Hassan telah dipilih untuk lagu terbaik pada pertandingan festival nasyid tersebut.

“Kerjasama dalam sesebuah kumpulan nasyid adalah sangat penting untuk menghasilkan sebuah lagu yang terbaik dan bermutu tinggi.

“Kemenangan Nahwan Nur mempertahankan kejuaraan tiga kali berturut-turut pada pertandingan Nasyid Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan di UniMap sebelum ini dan kesemuanya adalah hasil usaha gigih berterusan serta komitmen dari semua pihak,” kata Wan Muhammad ketika dihubungi.

Beliau berkata, penganjuran festival tersebut turut menyaksikan penyertaan yang terbesar melibatkan 15 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Kesemua peserta telah melalui peringkat saringan satu dan dua pada 2 Disember 2008 dan hanya lapan kumpulan sahaja yang layak ke peringkat akhir.

Antara universiti yang berjaya ke peringkat akhir ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tempat kedua telah disandang oleh UKM turut memenangi Anugerah Lirik Terbaik membawa pulang RM1700, tempat ketiga dimenangi oleh UPSI membawa pulang RM1200 yang turut memenangi Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Busana terbaik dimenangi oleh UniMAP menerima wang RM200 .

Sementara itu Anugerah Kumpulan Harapan 1 diberikan kepada UNIMAS dan Kumpulan Harapan 2 diberikan kepada UTM masing-masing membawa pulang RM200.

Oleh: Adidi Tamin
(suntingan Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, UPM.)

gravatar

Nasyid UPM Juara Peringkat IPT


Kumpulan Nasyid Nahwan Nur setelah dinobatkan sebagai juara Festival Nasyid Kemerdekaan Institut Pengajian Tinggi Kebangsaan 2008.

KANGAR, 29 Ogos – Kumpulan Nasyid Nahwan Nur di bawah naungan Unit Seni Budaya dan Kreatif, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia telah mempertahankan kejuaraan kali ketiga berturut-turut pada Festival Nasyid Kemerdekaan Institut Pengajian Tinggi Kebangsaan 2008/1429H kali kelima.

Kumpulan itu yang mempersembahkan dua lagu ciptaan sendiri bertajuk “Wacana Merdeka” dan “Cemerlang Akhlak Sahsiah Terpuji” membawa pulang wang tunai RM2,500 bersama piala pusingan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Mereka turut muncul sebagai pemenang persembahan terbaik yang menawarkan wang tunai RM500 dan piala iringan pada festival yang berlangsung di Dewan Kapitol UniMAP di sini.

Hadiah telah disampaikan oleh Exco Kerajaan Negeri Perlis, Japri Othman yang mewakili Menteri Besar.

Kumpulan nasyid tuan rumah pula mendapat tempat kedua sementara pasukan dari Universiti Malaysia Sarawak menduduki tempat ketiga.

Antara kumpulan yang turut menyertai festival itu ialah dari Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Teknologi Petronas.

Ketua delegasi UPM, Mohd. Isnain Ali dari Unit Seni Budaya dan Kreatif BHEP ketika mengulas kejayaan itu berkata ia adalah hasil rentetan daripada aktiviti mencungkil bakat baru melalui Festival Nasyid Interkolej (FESNIK) UPM.

Oleh : Adidi Tamin
Oleh BHEP & Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, UPM.

Waktu

Waktu Solat

Shout Box


ShoutMix chat widget

Media

Sedang dikemaskini..

Al-Quran

Hadith Muslim