gravatar

UPM Juara Anugerah Gong Kencana Emas


Pasukan nasyid dan zapin UPM bergambar dengan Prof. Dr. Azali Mohamed selepas majlis anugerah tersebut.

JOHOR BAHRU, 3 Jan – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjuarai anugerah utama Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) iaitu Anugerah Gong Kencana Emas MAKUM yang diberi kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang paling cemerlang dalam pertandingan anjuran MAKUM sepanjang tahun 2007 dan 2008.

Anugerah itu diberi berdasarkan pencapaian UPM menjadi juara Festival Zapin dan Festival Nasyid 2008, juara Festival Zapin, Deklamasi Puisi Merdeka dan Festival Pantun 2007, kesemuanya anjuran MAKUM.

UPM turut merangkul Anugerah Saron Wangsa MAKUM 2008 yang diberi kepada IPTA terbaik menunjukkan komitmen tinggi dalam pertandingan anjuran MAKUM.

Ketua Unit Seni Budaya dan Kreatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Mohd Isnain Ali berkata kemenangan tersebut diraih hasil bimbingan BHEP dalam semua aktiviti seni budaya di UPM.

“Kemenangan ini memberi semangat kepada penggiat seni dan budaya di UPM agar terus meningkatkan mutu persembahan dan mencapai lebih banyak kejuaraan,” katanya.

Dalam majlis itu UPM menerima trofi yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Dato’ Ir Dr. Radin Umar Radin Sohadi.

Anugerah Seni MAKUM 2008 secara dwi tahunan itu memberi pengiktirafan terhadap usaha-usaha atau hasil seni yang telah dihasilkan oleh IPTA sepanjang tahun 2007 dan 2008.

Selain anugerah utama Gong Kencana Emas dan Saron Wangsa, empat jenis anugerah lain ialah Bonang Emas, Gambang Mustika, Gendang Sari dan Kenong Budi.

MAKUM dianggotai oleh semua wakil daripada 20 buah IPTA yang bekerjasama membantu kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia serta agensi-agensi yang berkaitan dengan kesenian dan kebudayaan.

Disediakan oleh Seksyen Media dan Publisiti, Bahagian Komunikasi Korporat, UPM.

Waktu

Waktu Solat

Shout Box


ShoutMix chat widget

Media

Sedang dikemaskini..

Al-Quran

Hadith Muslim